fb fb fb fb fb

JKDM Pulau Pinang rampas lebih 21,000 minuman keras tidak berkastam

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 21,645 tin minuman keras disyaki tidak berkastam

BUTTERWORTH, 19 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 21,645 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM45,664.50 dan cukai sebanyak RM205,772.40 disyaki tidak berkastam dalam operasi pada 4 Julai lalu.

Operasi dilakukan ke atas sebuah premis terbiar di kawasan Jalan Kota Giam, Jelutong yang dijadikan sebagai stor simpanan.

Pengarah JKDM Pulau Pinang Roselan Ramli berkata, operasi ke atas premis berkenaan dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang.

"Pada 4 Julai lalu sepasukan pegawai dari Unit Marin Bahagian Penguatkusaan menjalankan rondaan telah menyerbu satu premis tidak berpenghuni di 78 A, Jalan Kota Giam Jelutong Timur," katanya kepad apemberita dalam sidang media di sini.

Sebahagian daripada rampasan minuman keras berkenaan dilabel dengan tanda 'Malaysia Duty Not Paid' iaitu untuk pasaran Zon Bebas Cukai atau untuk dieksport.

Kes disiasat bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM300,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI