fb fb fb fb fb

JKDM Pahang rampas rokok, minuman keras bernilai RM579,134

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri menunjukkan rokok dan minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu, 3 Julai lalu./ BERNAMA

KUANTAN, 18 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras pelbagai jenis dan jenama bernilai RM579,134 termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu, 3 Julai lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata ketika serbuan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang bekerja di premis perniagaan yang telah diperiksa turut ditahan.

Beliau berkata pemeriksaan di premis pertama sekitar 11.30 pagi menemukan 84,808 batang rokok dan 1,187.32 liter minuman keras bernilai RM92,950 termasuk cukai dan duti selain menahan dua orang pekerja di situ.

"Dalam serbuan di premis kedua pada waktu sama, pihak kastam menemui 49,220 batang rokok dan 1,062.27 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai termasuk cukai serta duti berjumlah RM93,842 serta menahan seorang pekerja.

"Kemudiannya sebuah lagi premis diperiksa pada 11.40 pagi di kawasan sama lalu menjumpai 176,484 batang rokok dan 2,683.33 liter minuman keras bernilai RM392,341 termasuk cukai dan duti serta menahan seorang pekerja," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Tambah beliau, modus operandi ketiga-tiga sindiket penyeludupan berkenaan ialah membawa masuk barangan melalui jalan laut sebelum disimpan di dalam premis perniagaan terbabit untuk dipasarkan kepada warga China yang bekerja di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman.

Mohd Asri berkata kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI