JOHOR BAHRU, 8 Januari-Seorang peniaga gerai makan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan menerbitkan satu hantaran menghasut yang mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di media sosial, Disember lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Hazeelia Muhammad selepas tertuduh, Zaidi Mat Sah, 55 tahun mengaku salah atas pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati menerbitkan penerbitan menghasut apabila membuat satu hantaran di aplikasi X menerusi akaun BitZ@zatocent miliknya.
Kenyataan tersebut mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 5.45 pagi di sebuah rumah Jalan Sutera Kuning Dua, Taman Sutera, di sini.
Menurut fakta kes, pada 29 Disember lalu, tertuduh membuat hantaran berkenaan yang membabitkan kenyataan berbaur hasutan dan menyentuh kesalahan 3R iaitu dengan melakukan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong sekali gus mencemarkan imej dan nama institusi diraja.
Hasil semakan terhadap telefon bimbit mendapati, akaun itu digunakan tertuduh manakala analisis risikan media sosial Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan akaun itu milik tertuduh.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.