fb fb fb fb fb

GISBH : 34 individu tamat jalani tempoh reman ditahan semula bawah SOSMA

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 September- Polis hari ini memaklumkan, 34 individu dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang telah tamat menjalani tempoh reman hari ini akan ditangkap semula bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan berkata, seramai 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman dan polis menasihatkan mereka untuk tampil sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.

Jelasnya, polis juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 ahli GISBH, termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

"Hasil siasatan mendapati kaedah perniagaan GISBH dipermudahkan melalui pegangan terhadap Aurad Muhammadiah versi organisasi tersebut, yang berlandaskan ketaksuban dan mendewakan pemimpin, sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.

"Poses itu mirip seperti indoktrinisasi yang menjadi nilai kehidupan dan dipercayai serta dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikut GISBH.

“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut (GISBH) yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja,” katanya.

Sementara itu, Razarudin memberitahu hasil kolaborasi siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan ini selari dengan siasatan yang dijalankan bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Selain itu katanya, polis turut mengesan hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun facebook Dzulkifli Salleh dalam halaman Meru & Bukit Kapar Komuniti bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terkesan akibat isu berkenaan.

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut yang dipercayai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu ini," kata Razarudin dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE