fb fb fb fb fb

Dua ditahan bantu siasatan kes tentera maut terkena tembakan

Foto RTM

KUCHING, 25 September- Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes anggota tentera maut akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song, Kapit, Isnin lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kedua-dua suspek yang berusia 31 tahun ditahan pada hari sama dan polis merampas satu senapang patah serta beberapa peluru penabur daripada mereka.

Hasil siasatan turut mendapati kedua suspek tidak mempunyai permit senjata semasa menjalankan pemburuan.

" Siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti memburu secara haram. Seorang daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar dalam kejadian 2.45 pagi itu," katanya sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin lalu, seorang anggota askar berpangkat koperal dari 9 Briged yang berpangkalan di Sibu dilaporkan terbunuh akibat terkena satu das tembakan semasa menjalankan latihan medan di Song sekitar pukul 2 pagi.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan dalaman yang teruk, dengan peluru penabur terbabit terkena pada hati.

 

Trainee2