fb fb fb fb fb

'Doakan untuk adik saya' - Abang Nur Farah Kartini

Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan hari ini

PEKAN, 18 Julai- Abang kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, bersyukur urusan pengebumian adiknya di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, di sini hari ini dipermudahkan.

"Kami bersyukur (jenazah) dah sampai sini... pengebumian pun dah selesai, dipermudahkan... kami bersyukur sangat. Saya minta doakan adik saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

"Pekan dipilih (untuk pengebumikan Nur Farah Kartini) sebab saya bakal berkahwin dengan orang Pekan... (jadi) memudahkan urusan pengebumian," katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, jenazah Nur Farah Kartini, 25, selamat dikebumikan pada pukul 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis.

Van yang membawa jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.55 petang selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Pengebumian Nur Farah Kartini, 25, dalam keadaan cuaca tenang dan berangin itu turut dihadiri ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib yang mewakili kerajaan negeri turut hadir di tanah perkuburan itu.

Mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6.00 petang, Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

1807 PHG KEBUMI KARTINI 2
Abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA