KLANG, 5 November - Empat rakan termasuk dua remaja perempuan dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, bulan lepas.
Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan Alyaa Zahwa Salim dan Putri Nurul Suhaila Abdullah masing-masing berumur 18 tahun, Muhammad Asran Ghazalie, 23 tahun serta Muhammad Adha Abdullah, 20 tahun, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama telah menculik kanak-kanak itu daripada penjaga yang sah di Bandar Bukit Tinggi, di sini pada pukul 3 petang, 8 Oktober lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta yang disewa ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur.
Mangsa kemudian ditinggalkan di kediaman itu sebelum dihantar pulang menggunakan perkhidmatan e-hailing pada 12 Oktober lepas, selepas empat hari dilarikan