SEPANG, 27 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup lebih 81 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM2.6 juta.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata dadah tersebut dipercayai disediakan untuk penghantaran ke Kota Kinabalu, Sabah melalui perkhidmatan udara di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Jelas beliau modus operandi sindiket adalah dengan mengisytiharkan dadah tersebut sebagai alat tulis untuk mengelirukan pihak berkuasa.
"Kes ini kami peroleh pada 17 Disember lalu. Pasukan operasi bahagian penguatkuasaan mengesan objek mencurigakan di dalam empat kotak parcel mesin pengimbas di sebuah terminal kargo operator di zon perdagangan bebas KLIA.
"Pemeriksaan lanjut mendapati 40 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki methamphetamine (syabu)," ujar dalam sidang media di sini hari ini.
Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesan bahawa kotak-kotak tersebut dihantar oleh seorang lelaki tempatan dengan menaiki sebuah kereta ke hub kurier di Shah Alam, Selangor pada 13 Disember lalu.
Norlela turut menambah bahawa berdasarkan sitaan dadah tersebut, JKDM menganggarkan lebih 406,700 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
Rampasan itu adalah yang terbesar dikesan JKDM menggunakan perkhidmatan mod udara.
Suspek sindiket kini sedang dikesan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.