KUALA LUMPUR, 4 Januari - Polis menahan seorang buruh binaan warganegara Bangladesh kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita di sebuah hotel di Taman Mawar, Puchong pada 31 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan berkata dalam kenyataan berkata, lelaki berumur 23 tahun itu ditahan di Putrajaya pada 4.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan kenalan mangsa dan mengaku membunuh kerana cemburu,” katanya.
Anbalagan berkata lelaki terbabit direman hingga 10 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita warganegara Indonesia berusia 39 tahun dalam keadaan berlumuran darah di hotel berkenaan pada 10.15 malam, Selasa lepas.