PASIR PUTEH, 7 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menggagalkan cubaan sebuah vessel nelayan asing untuk menyeludup masuk rokok putih tidak bercukai ke perairan negara pada 4 Januari lalu.
Tangkapan dilakukan kira-kira 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor. Menerusi operasi tersebut, pihak berkuasa merampas lebih 21 juta batang rokok putih bernilai kira-kira RM1.7 juta dengan anggaran cukai bernilai RM13.8 juta.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan oleh sebuah bot peronda agensi yang sedang menjalankan rondaan di perairan sempadan Malaysia-Thailand dalam Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris yang diatur gerak sejurus mendapat maklumat risikan.
"Vessel nelayan asing tanpa nombor pendaftaran pada awalnya dikesan pada pukul 1.30 petang ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
"Vessel tersebut cuba melarikan diri apabila bot penguatkuasa hadir namun tindakan pantas anggota kami berjaya berjaya menghentikan kapal tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Pasir Puteh hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati, kapal tersebut membawa tujuh orang kru warganegara Thailand berusia antara 21 hingga 47 tahun.
Lima kru memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan, manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Saringan awal air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan itu telah diubah suai menjadi bot kargo yang membawa 2,105 buah peti berisi rokok putih tidak bercukai disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.
Kapal bersama muatan rokok serta kru itu kemudiannya ditahan dan diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan tangkapan, termasuk vasel yang diubah suai dianggarkan RM16.5 juta.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Manakala empat kru yang didapati positif dadah pula akan turut disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.