fb fb fb fb fb

Bicara 1MDB: Najib belanja RM80,000 untuk rawatan cegah kanser

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tiga, kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi mengikuti sambungan prosiding sebutan kes suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 November- Mahkamah Tinggi hari ini memberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan RM80,000 bagi tujuan rawatan pencegahan penyakit kanser daripada wang derma yang didakwa diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Ia berdasarkan keterangan saksi ke-48 pendakwaan, Asisten Komisioner Foo Wei Min yang dipercayai mengetahui hal tersebut ketika beliau mengambil keterangan bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Wei Min, tertuduh melakukan transaksi wang kepada Vital Spire Sdn. Bhd atas tujuan rawatan kanser seperti yang disarankan oleh doktor.

Ia sebagai langkah pencegahan setelah bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua meninggal dunia kerana menghidap leukemia.

Berdasarkan kenyataan yang diambil terhadap Vital Spire Sdn. Bhd. menunjukkan wujudnya transaksi pertama berjumlah RM80,000 serta beberapa bayaran rawatan suplemen yang lain.

Datuk Seri Najib dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Wei Min turut bersetuju dengan soalan peguam tertuduh, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengatakan duit tersebut bukan untuk kegunaan peribadi sebaliknya disalurkan untuk tujuan politik dan program tanggungjawab sosial.

Perbicaraan akan bersambung pada 14 November ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE