fb fb fb fb fb

Bayi lelaki lapan bulan meninggal dunia di taska

Foto: BERNAMA

ALOR GAJAH, 7 September- Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Ashari Abu Samah berkata susulan itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, ditahan di taska tersebut pada 3.30 petang semalam bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita di wad kecemasan Hospital Alor Gajah di sini, yang memaklumkan telah menerima seorang pesakit bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Menurut siasatan awal bayi tersebut dihantar oleh ibu dan datuknya sekitar 7.05 pagi, sebelum ibu mangsa mendapat panggilan daripada taska memberitahu tubuh badan mangsa berkeadaan biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai.

“Mangsa terus dibawa ke Hospital Alor Gajah dan doktor mengesahkan kematiannya sebelum bedah siasat dilakukan sekitar 6 petang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska itu.

Beliau berkata sewaktu isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, tiba di pusat asuhan tersebut selepas dihubungi pihak taska, isterinya mendapati anaknya itu sudah terkulai dalam keadaan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Lebih menyayat hati pasangan tersebut sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan tidak sangka ia berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.

“Baru lima hari hantar dan ini yang terjadi,” katanya sayu.

Beliau yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur berkata apa yang lebih mengejutkannya, apabila mengetahui pusat asuhan tersebut tidak mempunyai lesen meskipun sudah empat tahun beroperasi.

“Memang terkejut kerana selama ini saya ingat pusat asuhan itu ada lesen tapi apabila disoal siasat polis, rupanya tak ada dan itu yang amat saya terkilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah malam tadi. -BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI