fb fb fb fb fb

Bapa tiga anak, dua rakan wanita didakwa buat iklan khidmat persundalan

Seorang bapa tiga anak dan dua rakan wanitanya dituduh membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari - Seorang lelaki dan dua rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X, minggu lepas.

Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norshazrina Md Zamri, 27, dan Norhidayah Mahadi, 24, didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dengan sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat,Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini pada 10.10 pagi 16 Jan lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira faktor kepentingan awam namun mencadangkan RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya jaminan dibenarkan.

Peguam Mohd Faris Abrar Othman, yang mewakili kesemua tertuduh, memohon supaya jaminan dibenarkan dengan jumlah minimum kerana ketiga-tiga anak guamnya menanggung keluarga masing-masing.

"Hasil Ikhwan merupakan bapa tiga anak berusia antara empat hingga 12 tahun serta mempunyai seorang bapa yang menghidap penyakit buah pinggang.

"Norshazrina pula menanggung ibu berusia 56 tahun yang mempunyai penyakit jantung dan Norhidayah tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya yang dibantu peguam Muhammad Faiz Mustafa.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN