BATU PAHAT, 12 September - Seorang lelaki yang digelar ‘Abang Bas’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat komen jelik dalam videonya di laman sosial awal bulan ini.
Pengendali akaun TikTok Abang Bas yang berusia 24 tahun itu membuat pengakuan dihadapan Hakim Osman Afendi Mohd Salleh.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara sedar menghantar satu komen jelik terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.
Perbuatan berkenaan dilakukan di Taman Budiman, Parit Raja, Batu Pahat, pada pukul 11 malam, 5 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Tertuduh kemudiannya dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, serta perlu melapor diri sekali sebulan di balai polis dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.
Selasa lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua orang murid perempuan.