fb fb fb fb fb

8 kilang diserbu, langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Kedah menyerbu lapan kilang di sekitar bandar raya Alor Setar dan Sungai Petani

ALOR SETAR, 16 Januari- Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Kedah menyerbu lapan kilang di sekitar bandar raya Alor Setar dan Sungai Petani, yang disyaki melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menerusi satu Op Gempur, semalam.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilakukan terhadap kilang elektrik dan elektronik, kilang berasaskan getah dan logam di kawasan terbabit.

"Dalam operasi itu lapan arahan lapangan, sembilan notis arahan dan tujuh kompaun telah dikeluarkan kerana melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khususnya berkaitan pengurusan Buangan Terjadual.

"Notis Arahan bawah Seksyen 31 dan 37 dikeluarkan ke atas premis-premis, khususnya penambahbaikan kawasan stor penyimpanan buangan terjadual dan meningkatkan kebersihan, pelabelan dan kemas kini inventori buangan terjadual," menurut kenyataan itu.

Kompaun yang dikeluarkan semasa operasi berkenaan dilakukan berjumlah RM14,000.

Tindakan yang dikenakan adalah bagi memastikan pihak industri sentiasa mematuhi keperluan perundangan.

Ia juga menunjukkan JAS komited dalam penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI