fb fb fb fb fb

4 individu direman 6 hari, terbabit sindiket pemalsuan geran hak milik tanah

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 10 Januari - Empat individu termasuk seorang pengarah dan setiausaha syarikat swasta yang juga ahli sindiket pemalsuan geran hak milik tanah direman enam hari, bermula hari ini. 

Permohonan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesemua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 49 hingga 53 tahun tiba di perkarangan Mahkamah, kira-kira pukul 9.00 pagi tadi dalam keadaan bergari dan memakai baju lokap SPRM.

Terdahulu, SPRM Johor telah menahan empat individu yang merupakan pengarah dan setiausaha sebuah syarikat swasta di Pejabat SPRM Johor, kira-kira pukul 11.00 malam semalam. 

Difahamkan, tangkapan ke atas mereka dibuat atas kesalahan memalsukan dokumen, yang mengandungi butir mantan palsu, bagi urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 Kanun Tanah Negara (KTN).

Ia bertujuan mendapatkan Geran Hakmilik baharu kepada Pejabat Tanah Dan Galian Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan di dalam geran yang melibatkan beberapa dokumen.

TETITIA YUSOFF