Wednesday, 28 September 2022

Tidak bayar gaji pekerja, MTUC kesal sikap majikan

  • Published in Semasa

KEMAMAN, 15 Jun- Kira-kira 50 pekerja syarikat Handal Cranes Sdn Bhd mengadakan piket di pekarangan syarikat tersebut di Teluk Kalong, Kemaman bagi mendesak majikan mereka melunaskan gaji dan pelbagai elaun yang tidak dibayar.

Handal Cranes merupakan anak syarikat Handal Energy Berhad yang menyediakan operasi kren luar pantai dan perkhidmatan penyelenggaran kren didakwa menganiaya pekerjanya sejak 2020 selepas diambil alih pengurusan baharu.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin berkata pihaknya kesal dengan tindakan majikan yang menganiaya pekerja.


(Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin)

Beliau sudah mengadakan beberapa kali rundingan melalui mesyuarat dengan pihak pengurusan namun syarikat masih gagal menjelaskan gaji pekerja sehingga hari ini dan sekiranya syarikat tersebut gagal membayar gaji, kesemua pekerja akan mengambil tindakan berpiket di ibu pejabat di Kuala Lumpur.

"MTUC dan para pekerja semua hadir hari ini kerana tiada pilihan lain. Kita dah berunding dengan pihak pengurusan dan juga telah bermesyuarat untuk membayar gaji pekerja tapi mereka berdegil tak nak bayar. Maka, inilah jalan akhir yang kita ambil untuk kita bagi amaran kepada syarikat Handal Cranes Sdn Bhd.

Tindakan berpiket ini tak berhenti hari ini, jika mereka tidak menjawab tuntutan kita dalam tempoh 10-15 hari, kita akan ambil tindakan berpiket di pejabat Kuala Lumpur, " kata Kamarul Baharin menjelaskan kepada RTM semasa berpiket di hadapan bangunan syarikat Handal Cranes Sdn Bhd, di sini.

Bagi wakil pekerja, Mohd Safwan Zahari, 31, sehingga kini, pekerja tidak dibayar gaji bagi bulan Mac dan April tahun ini. Syarikat tersebut juga membuat potongan gaji sebanyak 15-25% bagi setiap pekerjanya sejak beberapa tahun lalu.

"Hari ini kami masih lagi tak terima sebarang bayaran gaji sejak dari bulan Mac. Tiada khabar berita dari pengurusan tertinggi pun sampai hari ini. Mereka asyik bagi alasan syarikat tiada duit tapi kami ini perlukan gaji untuk teruskan kelangsungan hidup. Nak datang kerja pakai duit, balik kerja pun duit. Gaji tak bayar tapi suruh datang kerja," kata Mohd Safwan Zahari kepada pemberita RTM.


(Pekerja, Mohd Safwan Zahari)

Tambah Safwan lagi, hampir 100 pekerja menerima nasib yang sama hingga menyebabkan ada antara pekerja terpaksa berhenti demi mencari duit untuk menyara keluarga masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi pekerja Wan Mohd Safawi Wan Salleh, 41 berkata dia yang berkerja di syarikat tersebut selama 16 tahun kini terpaksa mencari peluang pekerjaan lain bagi menyara isteri dan anaknya yang berusia 12 hingga lapan tahun.

"Bila jadi macam ni, mereka bagi banyak sangat alasan. Siap kena potong gaji tanpa rela. Perkara-perkara ini jadi beban kepada pekerjalah. Kita semua sedia maklum, keadaan hidup sekarang pun bergantung pada hutang. Hutang kereta, hutang rumah dan nak tanggung anak-anak ke sekolah semua," tambah Wan Mohd Safawi meluahkan rasa kesal kepada RTM.