fb fb fb fb fb

Op Didik: Tingkat kesedaran pelajar terhadap keselamatan jalan raya

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 16 Februari- Polis Kuala Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan memperhebatkan Op Didik bermula tahun ini.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata tumpuan akan diberikan kepada pelajar yang membawa motosikal ke sekolah.

Program itu akan melibatkan 24 sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu, manakala 16 lagi di Kuala Nerus.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dilakukan pelajar ialah tidak memiliki lesen memandu serta menunggang dalam keadaan cuai.

Op Didik akan mendedahkan pelajar kepada peraturan jalan raya dan corak pemanduan yang berhemah.

"Saya menyatakan tadi bahawa kita akan menjalankan Op Didik bersama bahagian siasatan trafik bagi memastikan dan memberi ingatan kepada ibu bapa pelajar, termasuk pelajar itu sendiri, supaya mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan, termasuklah penggunaan topi keledar.

"Memang saya tidak nafikan ramai pelajar mengambil kesempatan memakai uniform dengan tidak memakai topi keledar, dan ini akan menjadi fokus dalam Op Didik bersama trafik nanti,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'First Day @ School IPD Kuala Terengganu bersama RXZ Members di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik di sini.

Hadir sama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Ahmad Ridhuan Abdul Ghani dan wakil RXZ Members, Lukhman Hasan.

RXZ Members menyumbangkan 100 cenderahati berupa alat tulis kepada pelajar terawal hadir ke sekolah.

Seramai 1,119 pelajar memulakan sesi 2025/2026 di sekolah berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM