fb fb fb fb fb

UNESCO iktiraf seni teater Mek Mulung

Seni teater Mek Mulung dipersembahkan di Kasane

ALOR SETAR , 11 Disember- Mek Mulung tersenarai bawah Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang berlangsung di Kasane, Republik Botswana dari 4 hingga 9 Disember lalu.

Pengiktirafan teater tradisi warisan Kedah Tua itu sekali gus menaikkan nama Malaysia menerusi penghargaan tertinggi kepada pewaris dan penggiat seni tradisional.

11 peserta mewakili Malaysia itu dikenali Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa terdiri daripada gabungan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Kedah, Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) dan Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus dari Jitra.

Pengerusi AKRAB Saipol Bahari Mohd Iman berkata kumpulannya memanfaatkan tiga minit masa persembahan yang diberikan dengan tarian,lakonan dan nyanyian dalam seni teater tradisi itu.

"Kami antara empat negara yang membuat persembahan. Jadi ianya dinilai oleh UNESCO dan pengiktirafan yang diberikan itu tidak mendapat bantahan. Alhamdulillah," katanya.

Sementara itu bagi pewaris Mek Mulong Wang Tepus, Abdul Halim Saad dari generasi yang kesepuluh seni warisan itu berkata ia merupakan satu cabaran apabila ia dipersembahkan untuk kali pertama di luar negara.

"Allhamadulilah kita berjaya melaksanakan seniwarisan ini dalam tempoh masa yang diberikan. Terima kasih kepada JKKN Warisan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang bertungkus lumus menjayakan untuk membawa Mek Mulong ke peringkat UNESCO," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim di sini.

Bagi Pengarah JKKN Kedah Sabarina Masadi berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus dan AKRAB sejak 2006 untuk membangun, mempertahankan, mengangkat serta memperkenalkan kesenian lama itu.

"Allhamdulilah, kita tidak menyangka teater tradisional Mek Mulung diiktiraf oleh UNESCO, maksudnya kesenian kita dipandang dan diiktiraf dunia. Cuma kita harap kesenian ini tidak lupus dan akan berterusan dengan gabungan AKRAB, JKKN, Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI