BERLIN, 13 Februari-Filem 'The Light' arahan pengarah Jerman Tom Tykwer yang memaparkan kisah tentang pembantu rumah berketurunan Syria bakal menjadi pembuka kepada Festival Filem Berlin pada Khamis.
Tayangan filem tersebut didominasi oleh perdebatan sengit mengenai migrasi di tengah-tengah kempen pilihan raya Jerman yang sedang berlangsung.
Filem tersebut menandakan kembalinya Tykwer, 59, ke dunia perfileman selepas sekian lama berehat, di mana beliau sebelum ini lebih menumpukan perhatian kepada siri Netflix yang mendapat pujian, "Babylon Berlin".
Festival berkenaan bakal berakhir pada 23 Februari iaitu tarikh yang sama dengan pilihan raya mengejut Jerman, yang diadakan selepas kejatuhan gabungan pemerintah Canselor Olaf Scholz tahun lalu.
Dengan parti sayap kanan antiimigrasi AfD melonjak dalam tinjauan, isu migrasi menjadi agenda utama dalam kempen menjelang pilihan raya nanti.
Tahun lalu, penganjur Berlinale mencetuskan kontroversi apabila melarang lima ahli politik AfD yang dijemput sebelum ini, dengan menyatakan bahawa mereka "tidak dialu-alukan".
ArthouseTuttle, yang mengambil alih jawatan pengarah Berlinale pada April tahun lalu, berkata bahawa walaupun filem pembukaan menyentuh tema politik, beliau mahu festival ini "terasing" daripada berita semasa sebanyak mungkin.
"Festival ini tidak mahu filem dan pembikin filem dibayangi oleh berita semasa," kata Tuttle dalam temu bual dengan AFP.
"Saya mahu orang ramai bercakap tentang pawagam. Agenda berita telah mendominasi setiap acara budaya di seluruh dunia, terutamanya muzik... Pembikin filem melihat betapa kacaunya dunia dan mencerminkannya kepada kita," katanya.
"Saya lebih suka membiarkan filem yang berbicara kerana filem mampu menyampaikan mesej dengan kompleksiti yang sering hilang dalam kata-kata", tambahnya.
Kemasukan besar-besaran pelarian Syria dan migran lain ke Jerman pada tahun 2015-2016 telah membantu meningkatkan sokongan terhadap AfD, yang diramalkan muncul sebagai salah satu parti terbesar dalam pilihan raya Jerman kali ini.
Berlinale atau Festival Filem Berlin, yang sebaris dengan Cannes dan Venice sebagai salah satu festival filem utama Eropah, berfungsi sebagai platform pelancaran penting untuk filem-filem dari seluruh dunia.
Penulis dan pengarah AS, Todd Haynes, akan mengetuai juri pada edisi tahun ini, dengan 19 filem bersaing untuk hadiah utama Golden Bear.
Antara yang bertanding termasuk "Blue Moon", filem terbaharu pengarah Hollywood Richard Linklater, yang dibintangi oleh Ethan Hawke, 11 tahun selepas Linklater memenangi Silver Bear untuk Pengarah Terbaik di Berlin menerusi filem "Boyhood".
Sementara itu,pengarah Korea Selatan Bong Joon-ho akan mempersembahkan filem barunya "Mickey 17" lakonan Robert Pattinson di luar pertandingan, manakala pelakon Britain Tilda Swinton akan menerima anugerah pencapaian seumur hidup.
Bintang terkenal seperti Jessica Chastain dan Timothée Chalamet juga dijangka memeriahkan karpet merah.
Filem-filem lain yang bertanding di Berlinale termasuk "Dreams", arahan pengarah Mexico Michael Franco, mengenai seorang penari balet Mexico, dan "What Does That Nature Say to You", arahan pengarah Korea Selatan Hong Sang-soo, yang terkenal dalam dunia filem arthouse.
Pengarah Romania Radu Jude, yang memenangi Golden Bear pada 2021 dengan "Bad Luck Banging or Loony Porn", turut bertanding dengan filem "Kontinental '25", sebuah komedi gelap mengenai kebangkitan nasionalisme.
Sementara itu, pengarah Perancis Lucile Hadzihalilovic akan mempersembahkan "The Ice Tower", sebuah drama fantasi lakonan Marion Cotillard.
Filem "The Light", yang menampilkan pelakon Jerman, mengisahkan sebuah keluarga moden yang kompleks tinggal di sebuah apartmen di Berlin.
Apabila Farrah, seorang wanita misteri yang baru tiba dari Syria, diambil bekerja sebagai pembantu rumah mereka, keluarga Engels mula mempersoalkan cara hidup mereka, dan perasaan tersembunyi mula terbongkar.-AFP.