(Farah Ann/gambar fail)
KUALA LUMPUR, 10 Mac- Persoalan berhubung status dan masa depan karier ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi bakal terjawab, Isnin ini, demikian menurut Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril.
Sementara itu, menurut Afrita status penyertaan Farah Ann ke Sukan SEA Hanoi pula hanya akan diketahui pada Sabtu ini iaitu dua hari sebelum atlet tersebut menjelaskan segala persoalan berkaitan masa depannya dalam sukan gimnastik menerusi satu sidang media pada 14 Mac ini.
"Mengenai persaraannya, saya serahkan kepada dia untuk membuat pengumuman. Daripada sudut tugas saya di MGF, saya perlu melakukan apa yang perlu, skop tugas saya dan semuanya.
"Saya melakukan bahagian saya sebagai dan saya berikan dia ruang sekiranya mahu melakukan pengumuman atau tidak, itu bahagian dia," katanya.
(Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril dalam temubual dalam talian)
Sebelum ini, hangat diperkatakan ratu gimnastik negara itu mahu bersara daripada sukan berkenaan menjelang temasya Sukan SEA Vietnam, Mei ini.
Sebelum ini Farah pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sementara itu, Afrita akui teruja selepas dipilih untuk mengalas tanggungjawab sebagai Timbalan Chef de Mission (CDM) negara bagi Sukan SEA Hanoi, Mei ini.
Beliau bakal membantu CDM, Datuk Nur Azmi Ahmad pada temasya dwi tahunan itu.
Setakat ini, seramai 584 orang atlet dan 199 orang pegawai tidak termasuk sukan Olahraga, E-Sports dan Mendayung akan menyertai Sukan SEA Hanoi 2022 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.