KUALA LUMPUR, 8 Januari- Telemovie Dosa Tak Terampun terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi bualan dalam kalangan penonton selain turut mendapat sambutan di media sosial, sejak ia ditayangkan 4 Januari lalu di saluran TV1 menerusi slot Panggung RTM.
Justeru, ramai peminat yang terlepas menyaksikan rancangan itu meminta agar ia dimuat naik ke dalam platform RTMKlik. [Tonton di sini]
Bagi menghargai sokongan penonton, pihak RTM telah memuat naik telemovie tersebut pada Isnin, 6 Januari 2024 dan mendapat hampir 20,000 tontonan selepas sehari dimuat naik di platform dalam talian itu.
Dosa Tak Terampun, arahan Bade Hj Azmi, mengangkat tema penyesalan dan penebusan dosa akibat tindakan silam yang telah dilakukan.
Barisan pelakon hebat yang membintangi telemovie ini adalah Fauziah Ahmad Daud, Nad Zainal, Wan Maimunah dan Syafie Naswip.
Telemovie tersebut mengisahkan perjalanan hidup seorang tukang jahit kampung, Junaidah lakonan Fauziah Ahmad Daud, yang dihantui dosa silamnya.
Junaidah menderhaka kepada ibunya, Jamaliah lakonan Wan Maimunah dan mengandung anak luar nikah bersama Jufri, lakonan Syafie Naswip.
Akibat dihantui masa silamnya, Junaidah hidup dalam kekesalan dan menghidap penyakit skizofrenia.
Sementara itu bekas kekasih Junaidah, Jufri terus menjadi penagih dadah dan kekal dengan sikap bengisnya.
Akhirnya, satu tragedi berlaku, mendedahkan siapa Junaidah yang sebenar.
Sepanjang cerita, penonton dibawa untuk merenung batasan pengampunan dan kompleksiti moral dalam kehidupan.
Ini apabila Junaidah sering dibayangi dosa-dosa yang tidak terampun dan berdepan karma atas dosanya itu.
Pelakon berbakat, Nad Zainal yang membawa watak Junaidah ketika usia muda, turut menjadi sebutan ramai pengguna media sosial.
Menerusi potongan video telemovie di TikTok, rata-rata pengguna memuji impak lakonan yang dipamerkan oleh barisan pelakon dalam menjiwai watak masing-masing.
"Drama di RTM kebanyakannya bagus-bagus dan malar segar (evergreen) . Aktor yang berbakat memang keluar dari jiwa," kata rinna08.
"Wan Maimunah tetap dengan air mata dari dulu hingga kini. Aku tabik sangat dia berlakon apa-apa pun," kata Mawar Berduri.
"Bila tengok drama dilakonkan mak Wan Maimunah dan Kak Ogy, memang menyentuh perasaan. Deep sangat, memang terbaik drama ini. Meleleh air mata tak berhenti," kata Mok_Ogy.
"Viralkan lagi. Cerita ini patut menang anugerah sebab plot twist dia lain dari yang lain. Tak jangka langsung," kata haellz.
"Minta RTM siarkan semula telemovie ini," kata shazz.
Video di TikTok itu mendapat lebih 13,000 tanda suka dan 1,006 perkongsian serta hampir 600 komen pengguna.