fb fb fb fb fb

Selepas 24 tahun, Westlife kembali ke Arena of Stars, Genting

Poster 'Westlife The Hits Tour 2024' yang akan diadakan di Arena of Stars, Resorts World Genting, Jun depan

KUALA LUMPUR, 19 April- Westlife, salah satu kumpulan pop terkenal dunia akan kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert di Arena of Stars, Resorts World Genting, Jun depan.

Westlife The Hits Tour 2024 anjuran MMIC Entertainment Group dengan JS Concert Productions sebagai promoter, akan berlangsung pada Ahad, 9 Jun 2024 pasti akan membuat peminat teruja.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 26 April, dari pukul 12 tengah hari dan seterusnya.

Kembali ke arena yang sama selepas 24 tahun, Westlife menjanjikan persembahan yang mempersonakan untuk peminat setia mereka.

Westlife yang ditubuhkan pada 1998, melakar nama sebagai kumpulan lelaki era 2000-an yang menjadi perhatian di seluruh dunia dengan lagu-lagu hits dan persembahan yang memukau.

Antara lagu dendangan Westlife yang menjadi siulan ramai dan masih diminati hingga kini seperti “Uptown Girl”, “My Love”, "Swear It Again", “Flying Without Wings”, "World of Our Own”, “Hello My Love” dan banyak lagi.

Westlife berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album No. 1, mengumpul lebih daripada 3 bilion aliran global, melepasi 1 bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Kumpulan berasal dari Ireland itu juga telah menerima pelbagai anugerah termasuk satu World Music Award, dua Brit Awards, empat MTV Awards dan empat Record of the Year Awards.

Tiket ke Westlife The Hits Tour 2024 berharga RM1,188 (VIP), RM988 (PS1), RM788 (PS2), RM588 (PS3) dan RM388 (PS4), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi MMIC Entertainment Group di mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE