fb fb fb fb fb

"Rona Bosphorus": Kisah cinta, ego dan dilema di Istanbul

Drama adaptasi novel popular 'Rona Bosphorus' karya Dr. Zaid Akhtar

KUALA LUMPUR, 7 Januari- RTM memulakan tahun baharu dengan menayangkan drama adaptasi novel popular 'Rona Bosphorus' karya Dr. Zaid Akhtar.

Bersiaran sejak 1 Januari lalu, drama bersiri ini boleh ditonton setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9.00 malam di saluran Okey dan RTMKlik.

Arahan Khalid Nadzri, 'Rona Bosphorus' menggandingkan Syafi Tee dan Husna Mustaffa sebagai teraju utama dibantu oleh pelakon seperti Habeeb Rasely, Hafizuddin Fadzil, Kuna Muzani, Boy Naszeli Ngasri, Duha Uner dan Datin Anne Ngasri.

Drama ini juga menampilkan keindahan Istanbul, Turkiye sebagai latar lokasi utama.

Kisah bermula dengan hubungan cinta Afham (Syafi Tee) dan Naura (Dania Iza) semasa menuntut di Jordan. Konflik timbul apabila Afham melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Istanbul dan mula menjauhkan diri daripada Naura.

Kehadiran Amal Hayati (Husna Mustaffa), seorang wanita kecewa dengan kisah cintanya sendiri, mencetuskan dilema baharu dalam hidup Afham.

Drama ini semakin menarik apabila Afham kembali ke Malaysia untuk menyambung pengajian PhD di sebuah universiti tempatan.

Pertemuan semula dengan Naura sebagai pelajar seliaan pensyarah mereka, Dr. Wajdi, membuka babak baharu dalam cerita.

Hubungan Naura dengan Dr. Wajdi mencetuskan konflik besar, lebih-lebih lagi apabila Afham mendapati Dr. Wajdi berniat memperisterikan Naura.

Penonton akan menyaksikan bagaimana Afham berdepan dilema antara memulihkan hubungannya dengan Naura atau melamar Amal Hayati untuk menjadi suri hidupnya. Adakah cinta lama akan bertaut semula atau Afham akhirnya memilih Amal Hayati?

Jangan ketinggalan mengikuti drama penuh emosi dan pengajaran ini di RTM.

SITI AISHAH MD ISA