fb fb fb fb fb

"Puteri Membara Malaysia" menang Busana Terbaik di Mrs World Las Vegas

Wakil Malaysia ke Mrs World 2024, Dr. Shalini Devi Ramachandran menggayakan kostum kebangsaan Puteri Membara Malaysia/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Januari – Kostum kebangsaan "Puteri Membara Malaysia" yang digayakan oleh Dr. Shalini Devi Ramachandran, wakil Mrs Malaysia World 2024, dinobatkan sebagai Busana Terbaik di pentas Mrs World 2024 di Las Vegas hari ini.

Rekaan menakjubkan ini dihasilkan oleh Pereka Busana Radio Televisyen Malaysia (RTM), Saran Lagong, 46, yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya sebulan bagi menyiapkan kostum tersebut.

"Sebagai seorang pereka busana, kemenangan ini memberi semangat dan kegembiraan yang luar biasa.
Pada awalnya, saya rasa ragu-ragu kerana rekaan ini sangat rumit.

"Saya tidak begitu yakin, tetapi apabila saya mencuba dan terus berusaha, saya tidak menyangka ia akhirnya menjadi sesuatu yang indah.

"Kemenangan ini memberi inspirasi untuk terus menghasilkan rekaan yang lebih baik pada masa akan datang. Semakin lama berkecimpung dalam bidang ini, saya semakin mahir dan yakin dengan kebolehan diri," katanya ketika dihubungi Berita RTM di sini hari ini.

Keunikan rekaan ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana mempunyai trail sepanjang 121 meter, menjadikan kostum yang terpanjang pernah dicipta bagi kategori kostum kebangsaan.

Inspirasi dan Keunikan Rekaan

Kostum "Puteri Membara Malaysia" menggabungkan motif batik tradisional dan songket dengan sentuhan seni kontemporari, menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia serta kreativiti dalam industri fesyen tempatan.

Rona merah dan hitam pada kostum ‘Puteri Membara Malaysia’, melambangkan kekuatan semangat serta ketabahan wanita Malaysia.

Pada masa sama, memberi penghormatan kepada warisan budaya Malaysia.

"Kostum ini diinspirasikan daripada busana puteri dalam versi moden yang menggambarkan semangat dan iltizam yang membara, persis api yang menyala," kata Saran yang turut menyatakan kebanggaannya melihat rekaannya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Merah membawa makna perpaduan, cinta dan keazaman, manakala hitam mencerminkan keanggunan, kekuatan dan kewibawaan wanita Malaysia," tambahnya.

1201 BUSANA MRS WORLD 2Pereka Busana RTM, Saran Lagong (kiri) bersama Dr. Shalini Devi Ramachandran, wakil Mrs Malaysia World 2024 ke Las Vegas

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut rekaan anak kelahiran jati Sarawak ini dipilih untuk dipersembahkan di pentas Mrs World.

"Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, tetapi cukup sekadar rekaan saya diterima ramai dan budaya Malaysia dapat diperkenalkan kepada dunia.

"Saya juga ingin membuktikan bahawa bakat dalam sektor penjawat awam setanding dengan pereka profesional," katanya.

Dua tahun lalu, Saran mencipta kostum yang dihiasi dengan 10,000 keping syiling lima sen, yang digayakan oleh Olivia Nicholas di Mrs World 2022.

Tahun 2024 rekaan wau bulan gergasi yang digayakan oleh P. Vanishaantini di Mrs World 2023 meraih anugerah Most Original Costume dan menduduki tempat keenam secara keseluruhan.

BERITA BERKAITAN

‘Puteri Membara Malaysia’, kostum rekaan pereka RTM bakal digayakan di Mrs World 2024

 

GRACE AISYAH KEDAYAN