fb fb fb fb fb

Persembahan mantap CNBLUE pukau ribuan penonton

Jung Yong-hwa, vokalis CNBLUE yang juga gitaris dan keyboard/Lo-Fi Entertainment

KUALA LUMPUR, 21 April- Penantian selama 10 tahun peminat tempatan untuk menonton persembahan kumpulan CNBLUE beraksi di hadapan mereka tidak sia-sia.

Kumpulan rock dari Korea Selatan itu berjaya memukau hampir 5,000 penonton sewaktu konsert "2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur" yang berlangsung di Mega Star Arena di ibu negara, Sabtu lepas.

CNBLUE dianggotai oleh Jung Yong-hwa (vokalis, gitaris, keyboard), Lee Jung-shin (bass) dan Kang Min-hyuk (dram) memulakan persembahan pada pukul 8.00 malam dengan lagu hit, I'm a Loner.

Konsert anjuran Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment berdurasi kira-kira selama tiga jam itu berjaya melepaskan kerinduan peminat yang digelar "BOICE".

2204 HI KONSERT CNBLUE 3
(Dari kiri) Lee Jung-shin, Jung Yong-hwa dan Kang Min-hyuk


"Akhirnya, kami dapat juga hadir ke Malaysia. Kira-kira 10 tahun kami menanti peluang ini. Kami janji akan datang lagi ke Malaysia dalam tempoh terdekat dan bukan 10 tahun akan datang.

"Saya akan datang lagi kerana saya sayang awak semua, janji. Awak semua mantap," kata Yonghwa.

Ketiga-tiga anggota CNBLUE kelihatan bersungguh-sungguh cuba berkomunikasi dalam bahasa Melayu selepas diajar oleh penonton. Antara perkataan itu adalah "mantap gila", "saya sayang awak", "janji" dan beberapa lagi.

Sepanjang konsert berlangsung CNBLUE mendendangkan 24 buah lagu popular mereka termasuk Love, Intuition, Hey You, Imagine, Lady, Coffee Shop, Cinderella, Between Us, Young Forever dan Love Girl.

CNBLUE telah ditubuhkan selama 15 tahun sejak tahun 2009.

2204 HI KONSERT CNBLUE 2
Hampir 5,000 penonton hadir "2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur", Sabtu lalu

SITI AISHAH MD ISA