fb fb fb fb fb

Pelakon Sigourney Weaver terima Anugerah Antarabangsa Goya

Aktres Sigourney Weaver menerima anugerah Antarabangsa Goya / Foto Reuters

VALLADOLID, 12 Februari - Aktres Hollywood, Sigourney Weaver menerima anugerah Antarabangsa Goya daripada Akademi Filem Sepanyol pada Sabtu.

Anugerah berkenaan sebagai menghargai dan mengiktiraf karier dan pencapaian Weaver yang mengagumkan yang berjaya menghidupkan watak wanita yang disifatkan sebagai bebas, kompleks dan kuat.

Pelakon berusia 74 tahun itu yang dikenali kerana memegang watak Ellen Ripley dalam filem francais "Alien" merupakan penerima ketiga anugerah tersebut sejak kali pertama diperkenalkan pada 2022.

Sebelum ini, Anugerah Antarabangsa Goya pernah dimenangi oleh aktres Cate Blanchett dan Juliette Binoche.

"Saya sentiasa melihat dan mencari kisah tentang wanita.

"Ini adalah untuk mengingatkan kita tentang betapa hebatnya wanita dalam semua aspek yang tidak dijangkakan", kata Weaver kepada para penonton dan bintang filem yang turut sama memeriahkan majlis anugerah berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri bintang Hollywood seperti Penelope Cruz.

Pada majlis sama, Weaver turut memberi penghormatan kepada aktres Sepanyol Maria Luisa Sola yang telah mengalih suara pelakon itu dalam lebih 30 buah filem bermula dengan filem Alien.

"Pelakon hebat yang mengalih suara saya harus berada di sini juga," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada penonton

Dalam pada itu, juri festival filem Goya menyifatkan karisma, bakat dan kepelbagaian watak yang dibawa Weaver dalam pelbagai genre filem seperti watak Dian Fossey dalam filem "Gorillas in the Mist" kepada filem bercorak komedi seperti "Ghostbusters" melayakkannya menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, Filem Society of the Snow merupakan pemenang pada festival tersebut apabila menggondol 12 anugerah.

Filem "Society of the Snow" berdasarkan kisah sebenar nahas kapal terbang yang dialami pasukan ragbi Uruguay di Andes pada tahun 1972.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD