KUALA LUMPUR, 19 Disember – Pelakon veteran Zailan Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Lan Zailan, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.15 pagi tadi akibat kanser pankreas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh isterinya, Ruby Sara Omar.
Pelakon berusia 66 tahun itu sebelum ini dimasukkan ke PPUM untuk menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.
Isterinya turut memaklumkan bahawa penyakit itu telah merebak ke organ penting lain dan doktor menjangkakan Allahyarham hanya mempunyai masa tiga bulan untuk hidup.
Jenazah dimandikan di PPUM sekitar pukul 8 pagi sebelum dibawa ke Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk solat jenazah.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Lan Zailan memulakan kerjaya lakonannya sejak tahun 1980-an, membintangi lebih daripada 10 filem serta puluhan drama dan telefilem tempatan.
Antara karya terkenalnya termasuk Gerak Khas, Zaharul vs Zarina, Takdir Itu Milik Aku dan Bini-Biniku Gangster.