(FOTO IG officialmizznina)
KUALA LUMPUR, 16 Jun- Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Shazrina Azman atau Mizz Nina mengumumkan sudah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Essam Muhammad dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat.
Essam merupakan warga Amerika Syarikat yang juga seorang penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Mizz Nina berkongsi gambar bersama suaminya serta meluahkan rasa syukur dengan pernikahan kali kedua itu dan menganggap ia takdir terindah ditentukan oleh Allah SWT.
"Bismillahirahmanirahim..Alhamdulilah, segala puji bagi Allah sebaik-baik perancangan dan telah menentukan takdir terindah. Syukur dengan perkahwinan yang mendapat restu kedua orang tua.
"InsyaAllah, kami akan saling melengkapi satu sama lain dan meneruskan hidup kami untuk berdakwah. Kami berkongsi aspirasi dan matlamat serta teruja dalam menempuh fasa baru kehidupan bersama," katanya.
Mizz Nina turut berkongsi bakal mengadakan satu majlis resepsi perkahwinan tertutup di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
Penyanyi berusia 43 tahun itu berharap ikatan yang dibina akan memberikan manfaat kepada semua pihak dan dirinya dalam bersama-sama menjadi insan yang lebih baik.
Ini merupakan pernikahan kedua Mizz Nina selepas menfailkan perceraian dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh tahun lalu.
(FOTO IG officialmizznina)