fb fb fb fb fb

Mickelson mohon maaf terlanjur kata

FOTO AP

MIAMI, 23 Februari- Phil Mickelson menyatakan permohonan maaf pada Selasa atas kenyataan kasarnya terhadap Liga Super Saudi dan mengakui memerlukan rehat daripada bermain golf.

Akibat daripada perbuatannya itu, pemain kidal berusia 51 tahun itu, yang juga merupakan pemenang enam kejuaraan major dan pemegang gelaran Kejuaraan PGA turut kehilangan penaja lamanya iaitu KPMG.

Terdahulu, Mickelson menggelar orang Arab Saudi sebagai "menakutkan" dengan "rekod yang mengerikan mengenai hak asasi manusia."

"Mengetahui semua ini, mengapa saya mahu menyertainya?" Mickelson berkata tentang potensi untuk menyertai jelajah Saudi.

“Kerana ini peluang sekali seumur hidup untuk membentuk semula bagaimana Jelajah PGA beroperasi,” katanya.

Mickelson dipetik sebagai berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Liga Golf Saudi walaupun terdapat isu hak asasi manusia kerana ia akan memberikan pengaruh untuk mencipta perubahan pada Jelajah PGA.

"Saya menggunakan perkataan yang saya benar-benar kesal yang tidak mencerminkan perasaan atau niat sebenar saya," kata Mickelson pada hari Selasa.

"Saya akui, ia melulu, saya menyinggung perasaan orang ramai, dan saya amat kesal dengan pilihan kata-kata saya dan amat kecewa. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk muhasabah diri dan belajar daripada ini."

Mickelson berkata komennya diambil di luar konteks dan tindakannya itu sebenarnya adalah untuk kepentingan golf.

Rory McIlroy adalah antara pemain yang mengkritik Mickelson kerana kenyataannya, manakala Bryson DeChambeau dan Dustin Johnson pula memutuskan untuk tidak menyertai Liga Saudi.- AP

Media Baharu