fb fb fb fb fb

Malam Makan Malam & Konsert Eksklusif Tahun Baru bersama Ernie Zakri & Syamel

Dj Fuzz, Ernie Zakri (tengah) dan Syamel

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Sambutan malam Tahun Baru 2026 bakal diserikan dengan detik yang tidak akan dilupakan menerusi acara eksklusif bertajuk ‘Nostalgia: Malam Makan Malam & Konsert Eksklusif Tahun Baru’, hasil kolaborasi antara Le Méridien Petaling Jaya dan Universal Music Malaysia yang bakal berlangsung pada 31 Disember di Grand Ballroom hotel tersebut.

Malam penuh elegan tersebut akan diserikan oleh pasangan duet tersohor, Ernie Zakri dan Syamel, menerusi persembahan selama tiga jam menerusi rangkaian lagu-lagu hit dan klasik yang membangkitkan emosi serta kenangan. Lebih istimewa, menjelang detik 12 malam, DJ Fuzz akan menghidupkan suasana dengan set muzik yang penuh bertenaga bagi menyambut tahun baharu 2026.

Ernie, 33 tahun, atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar makan malam, malah menjanjikan persembahan penuh eksklusif.

“Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi. ‘Nostalgia’ ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.

“Persembahan pada acara ini diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah,” katanya.

Bagi Syamel, 32 tahun atau nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly, dia tidak sabar untuk memberikan persembahan hebat pada malam ‘Nostalgia’ tersebut.

“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya. ‘Nostalgia’ adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya Christopher Moore berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar sambutan tahun baharu, ia adalah penghormatan kepada muzik sepanjang zaman, momen bermakna dan hospitaliti bertaraf dunia.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dalam mencipta pengalaman eksklusif yang mengangkat semangat perpaduan dan kegembiraan menyambut permulaan baharu," ujarnya.

Tetamu yang hadir turut disajikan dengan empat hidangan premium Barat yang direka khas oleh pasukan kulinari Le Méridien Petaling Jaya, menambah sentuhan rasa pada malam penuh magis yang menggabungkan muzik, makanan dan memori.

Tiket dan tempahan boleh dibuat bermula 8 Ogos ini.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN