SHAH ALAM, 30 November - Selangor bakal memperkenalkan tarikan ekopelancongan dan edutainment terbaharu menerusi pembangunan Magika Studios di Mangrove Point, Pelabuhan Klang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim, berkata Magika Studios menawarkan pengalaman unik berbanding taman tema konvensional kerana menampilkan gabungan zon terbuka dan ruang tertutup bagi menjamin pengalaman berbeza pada waktu siang dan malam.
“Magika ini satu ‘universe’. Sebelum Marvel mencipta universe mereka, Magika sudah menggabungkan watak-watak mitos dalam satu dunia. Elemen muzikal, penceritaan, pengembaraan serta tugasan interaktif untuk pelawat akan menjadi identiti taman tema ini,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Taman Tema Magika Studio, di sini hari ini.
Projek kerjasama antara KRU Entertainment Sdn Bhd dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) itu diinspirasikan daripada filem terbitan KRU Studio membawa elemen budaya tempatan, mitos Nusantara serta mesej pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam bentuk taman tema.
Tambah beliau berbeza dengan Wetland Studios di Putrajaya yang menampilkan watak animasi baharu, Magika Studios menampilkan karakter yang telah dikenali dan dekat dengan masyarakat tempatan.
Ketika ini, kerja-kerja infrastruktur termasuk pembaikan boardwalk, sistem elektrik dan paip sedang dijalankan, manakala pemasangan aset dijangka bermula pada enam bulan pertama tahun hadapan.
“Setakat ini lebih kurang 30 peratus siap. Sasaran kami ialah membuka Magika Studios sekitar Jun tahun hadapan,” katanya.
Beliau menjelaskan projek itu secara keseluruhan melibatkan pelaburan sekitar RM25 juta, termasuk infrastruktur sedia ada bernilai kira-kira RM12 juta.
Norman yakin pembangunan Magika Studios mampu menjadi pemangkin transformasi kawasan Klang, khususnya muara Sungai Klang, sebagai destinasi pelancongan unik serta mengubah persepsi bahawa Klang sebuah bandar lama.
“Taman tema ini bukan sekadar hiburan. Ia membawa mesej penting tentang tanggungjawab sebagai warga global, sesuatu yang jarang diterapkan dalam taman tema di peringkat dunia,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut mengukuhkan kerjasama strategik antara LLSB, selaku pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG), dan KRU Entertainment Sdn Bhd, dalam memperkasa ekosistem pelancongan, hiburan dan ekonomi kreatif negeri Selangor. ##