KUALA LUMPUR, 30 Jun - Lebih seratus peserta hadir menyertai Pencarian Bakat Bintang Kecil 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung dua hari bermula semalam.
Platform bagi mencungkil bakat baharu kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun menerusi nyanyian itu diadakan di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri.
Menurut Penerbit Bintang Kecil Wilayah Persekutuan, Ashila Ashura, ini merupakan peluang penyanyi cilik tempatan menyerlahkan bakat mereka bagi merebut slot mewakili Semenanjung untuk berentap ke peringkat akhir Bintang Kecil 2024 di Sarawak.
"Kita memang mencari mereka yang boleh menyanyi dalam Bahasa Melayu yang pertama, bukan vokalnya sahaja yang sedap tetapi mereka boleh menggunakan pentas kiri kanan depan belakang bermakna mereka menghiburkan juri kita,menghiburkan penonton yang datang dan juga tidak malu-malu tidak ada segan,
"Setakat ini memang ada yang 'wow' memang suaranya sedap tapi kita nak antara 'wow' tu ada 'wow' berkali-kali ganda.
"Insha Allah inilah yang kita bawakan mewakili peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui RTM.
Tambah beliau cabaran tahun ini lebih hebat bukan hanya mencari peserta yang mempunyai kemantapan vokal malah turut memberi pengalaman serta peluang buat mereka membuat persembahan di hadapan juri dan orang ramai.
Sesi pencarian penyanyi cilik itu telah dijuri oleh Penyanyi dan Komposer, Adi Sixth Sense serta guru vokal, Sarah Ismail.
Mereka yang berjaya akan berentap di Peringkat Debaran pada 13 Julai depan, seterusnya ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada September nanti.