KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Istana Budaya akan mengadakan Lambang Sari Series 3 (LSS3) dengan tema Kita | Jiwa Merdeka di Melaka pada 16 dan 17 Ogos ini bertujuan memeriahkan Tahun Melawat Melaka 2024.
Ia akan menampilkan persembahan muzik klasikal pop bertemakan patriotik, seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang dilancarkan pada 5 Jun lalu.
Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata, acara itu adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) kepada masyarakat Melaka.
"Selain itu, inilah peluang kepada rakyat Melaka untuk merasai pengalaman menonton persembahan seni pentas bertaraf dunia dengan lebih dekat.
"Persembahan LSS 3 yang berdurasikan 1 jam 30 minit ini menyaksikan keunikan hasil garapan pengarah persembahan Mohd Zulfaqar Awaluddin atau mesra dikenali sebagai Belalang dengan mengangkat penceritaan melalui peredaran era muzik sebagai simbolik mencerminkan perjalanan sejarah dan semangat kemerdekaan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Persembahan berdurasi 90 minit itu akan dipimpin Pengarah Persembahan LSS3 Mohd Zulfaqar Awaluddin yang dikenali sebagai Belalang, menampilkan penceritaan melalui evolusi muzik mencerminkan sejarah dan semangat kemerdekaan negara.
"Acara ini juga akan menampilkan artis jemputan seperti Liza Hanim, Azlan Typewriter, Asmidar, dan Azizul Haqim, serta persembahan tarian oleh Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA). Antara lagu yang akan dipersembahkan termasuk 'Kancing Suasa', 'Malam Bulan Di Pagar Bintang', 'Bahtera Merdeka', dan 'Gemuruh'," tambah kenyataan itu.
Persembahan berkenaan akan berlangsung di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka (JKKN Melaka) pada pukul 8.30 malam.
Tiket dijual pada harga RM30 dan boleh didapati melalui pautan rasmi Istana Budaya.