fb fb fb fb fb

Konsert Mestika Asmaraloka: Variasi elemen keroncong malar segar

Datuk Ramli Sarip, antara artis yang tampil dalam Konsert Mestika Asmaraloka di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, malam tadi.

JOHOR BAHRU, 13 Oktober- Konsert Mestika Asmaraloka menghiburkan kira-kira 800 penonton di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, malam tadi.

Konsert bertemakan keroncong itu juga bersiaran langsung di TV2, menyajikan persembahan dari 11 artis, antaranya Datuk Ramli Sarip, Aina Abdul, Mawi dan Han Byul.

Konsert itu menampilkan 18 lagu genre pop dan rock, yang diolah dengan elemen keroncong.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pendekatan tersebut merupakan inisiatif positif dan relevan, kerana mampu menarik minat generasi masa kini, terhadap muzik genre keroncong.

"Saya rasa ini satu persembahan dan garapan yang sangat hebat daripada pasukan kita dan saya ucapkan tahniah juga kepada semua yang mengambil bahagian, RTM Johor dan rakan-rakan dari Angkasapuri, saya rasa ini cukup hebat kerana kalau kita tengok persembahan tadi sesuatu keunikan atau pun kelainan yang dibawa RTM. Jadi apabila orang mendengar keroncong secara automatik jenama RTM akan datang di minda mereka ini. Maka ini adalah salah satu cara penjenamaan semula sesebuah saluran," katanya.

Suhaimi berkata demikian, selepas menyaksikan Konsert Mestika Asmaraloka di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Johor, Azman Hashim.

Beliau turut berharap konsert seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang, kerana genre itu perlu diperluaskan kepada generasi muda dengan pendekatan yang terkini.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI