KUALA LUMPUR, 11 Julai – Penghibur tersohor negara, Misha Omar, bakal mengadakan konsert berskala besar berjudul DiA Misha Omar pada 29 November ini bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Tidak sekadar memenuhi janji, DiA Misha Omar menjadi pentas meraikan lebih dua dekad perjalanan seninya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Misha sebagai antara vokalis paling disegani dalam industri hiburan tempatan.
Menurut kenyataan Altus Prohouse, konsert berkenaan bukan sekadar persembahan rutin, sebaliknya satu produksi berprestij yang menampilkan kualiti muzik dan pentas bertaraf tinggi bagi menghargai sokongan peminat sejak era Bunga-Bunga Cinta sehingga single terbaharu, Break.
“Malam 29 November nanti bakal menjadi satu pengalaman konsert luar biasa bersama legenda muzik tanah air. Segalanya hanya akan terjawab jika anda menjadi sebahagian daripada saksi DiA Misha Omar,” ujar Miselyn Yee Siew daripada Altus Prohouse.
Bagi Misha sendiri, konsert ini merupakan detik penting dalam kariernya setelah lebih 20 tahun bergelar penghibur.
“Ini bukan sekadar tentang saya, tapi tentang perjalanan panjang yang tidak akan mampu dilakar tanpa peminat dan rakan industri yang sentiasa menyokong. DiA Misha Omar adalah penghormatan kepada semua yang bersama saya sejak mula,” kata Misha.