KUALA LUMPUR, 22 September - Aisha Retno memperkukuhkan portfolio seninya menerusi single terbaharu berjudul “Semoga Saja”, hasil kolaboratif bersama pemuzik dan produser terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Berbeza dengan kolaborasi Ade Govinda sebelum ini yang kebanyakannya berunsur pop-balada, “Semoga Saja” menampilkan nuansa baharu dengan tempo sederhana namun sarat emosi, menggambarkan rasa kehilangan serta doa bagi seseorang yang telah pergi.
Lagu tersebut turut menonjolkan sisi vokal Aisha yang lembut tetapi kuat, dipadukan dengan muzik harmonik indah, ciri khas lagu-lagu Ade Govinda yang sentiasa menyentuh hati. Aisha juga menulis lirik bersama Ade Govinda untuk single berkenaan.
Video muzik rasmi lagu tersebut diarahkan Bagoes Tresna Adji, dengan penggambaran di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia beberapa bulan lalu.
Kisah visual memperlihatkan Aisha menyelami rasa yang masih menyimpan harapan terhadap kembalinya seseorang yang dicintai, sejajar tema lagu. Bagoes menyatakan, “Menunggu seseorang yang telah pergi membuat kita menggila, namun kedatangannya selalu menenangkan.”
Sementara itu, Aisha berkata, “Lagu ini bersifat peribadi kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai. Saya berharap pendengar dapat merasai kejujuran setiap nada dan memperoleh kekuatan melalui harapan yang tersisa.”
Ade Govinda menambah, “Semoga kolaboratif ini menjadi permulaan untuk kerjasama kami pada masa akan datang.”
Single “Semoga Saja” kini boleh didengar di semua platform muzik digital, manakala video muzik rasminya boleh disaksikan di saluran YouTube Ade Govinda.