fb fb fb fb fb

Kaka Azraff lancar album sulung “MPT” selepas 16 tahun berkarya

Penyanyi, Kaka Azraff.

KUALA LUMPUR, 30 Disember – Selepas 16 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air, penyanyi Kaka Azraff akhirnya menamatkan penantian peminat dengan melancarkan album sulungnya bertajuk MPT, singkatan daripada perkataan “empati”.

Album ini menggambarkan kebolehan Kaka untuk menyelami perasaan dan pengalaman orang lain, seolah-olah berada di posisi mereka.

Pelancaran album tersebut diraikan dalam sesi Showcase & Listening Party di Kafe Bijou, Ara Damansara, yang dihadiri peminat, pengamal media serta rakan-rakan industri.

Menurut Kaka, keseluruhan lagu dalam album MPT merupakan hasil pengalaman kolektif sepanjang tiga tahun beliau memilih untuk berada di luar sorotan utama. Perbualan, perkongsian dan pengalaman insan di sekeliling menjadi sumber inspirasi utama, membentuk arah dan identiti album sambil memberi ruang untuk berkarya dengan lebih jujur.

Album ini menampilkan enam buah lagu, iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku, yang masing-masing membawa naratif tersendiri.

Kaka berkata bahawa proses penghasilan album lebih menitikberatkan kejujuran dan keaslian emosi berbanding kesempurnaan teknikal semata-mata.

Album MPT juga menyaksikan kolaborasi dengan penerbit SonaOne dan Yonnboii, menghasilkan melodi harmoni yang selari dengan naratif album secara keseluruhan.

Kaka menyifatkan MPT bukanlah kemunculan semula, sebaliknya kesinambungan perjalanan seninya, menjadi fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada pengalaman, hubungan, dan ruang yang telah dilalui sepanjang kerjaya.

Secara keseluruhan, album ini mencerminkan kematangan dan perkembangan Kaka Azraff dari perspektif muzik dan kehidupan secara tenang serta berperingkat.

Album MPT direalisasikan hasil kerjasama pelbagai pihak dengan sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Pelancaran rasmi album dijadualkan pada hujung Januari 2026.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI