fb fb fb fb fb

Festival Filem Cannes: Juliette Binoche diumum sebagai Presiden Juri

Pelakon Perancis, Juliette Binoche dilantik sebagai Presiden Juri Festival filem Cannes edisi ke-78 / Foto REUTERS

PARIS, 4 Februari-Festival Filem Cannes pada Selasa mengumumkan pelantikan pelakon terkenal Perancis,Juliette Binoche sebagai Presiden Juri untuk mengetuai edisi ke-78 festival itu yang akan berlangsung pada Mei depan.

Bintang berusia 60 tahun yang terkenal menerusi filem seperti The English Patient dan Certified Copy ini akan menggantikan pengarah filem Barbie, Greta Gerwig, yang berkhidmat sebagai presiden juri tahun lepas.

Gerwig, yang merupakan pembikin filem Amerika pertama memegang jawatan itu, bersama juri lain telah menganugerahkan Palme d'Or 2024 kepada filem Anora arahan Sean Baker.

"Dalam tahun 1985, saya menaiki tangga festival ini buat kali pertama dengan penuh semangat dan ketidaktentuan sebagai seorang pelakon muda," kata Binoche dalam satu kenyataan, merujuk kepada pengalaman pertamanya di Cannes.

"Saya tidak pernah membayangkan akan kembali 40 tahun kemudian sebagai presiden juri.

"Saya sedar akan tanggungjawab yang besar, dan keperluan mutlak untuk bersikap rendah hati," tambahnya.

Binoche adalah antara segelintir pelakon yang pernah memenangi anugerah di tiga festival filem terbesar Eropah, Cannes, Festival Filem Venice, dan Berlinale.

Dia juga termasuk dalam kalangan pelakon Perancis yang pernah memenangi Anugerah Oscar, dengan membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem perang epik The English Patient pada tahun 1996.

Selain kejayaannya dalam industri filem, Binoche dikenali kerana pendirian politiknya yang lantang, termasuk menyuarakan sokongan terhadap hak wanita di Iran, isu alam sekitar, serta hak pendatang tanpa dokumen.

Baru-baru ini, dia menandatangani petisyen bertajuk Stand Up for Culture untuk menentang pemotongan bajet dalam sektor kebudayaan yang dirancang oleh kerajaan Perancis.

Filem terbarunya, Queen at Sea, dijadualkan untuk tayangan tahun ini.

Binoche juga secara terbuka menyokong rakan-rakan pelakon yang bersuara mengenai keganasan seksual selepas skandal #MeToo di Hollywood.

Penganjur festival menekankan bahawa ini merupakan kali kedua dalam sejarah Cannes dua wanita berturut-turut mengetuai juri.

Kali terakhir ialah pada tahun 1960-an, apabila ikon sinema Itali, Sophia Loren, menggantikan Olivia de Havilland dari Gone with the Wind.

Anggota juri lain masih belum diumumkan, dan senarai rasmi filem yang akan bersaing dijangka diumumkan pada pertengahan April.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD