KUALA LUMPUR, 22 September - Konsert ELITE LIVE ‘25 berlangsung meriah pada Sabtu lalu, sekali gus memberikan pengalaman eksklusif buat para peminat.
Konsert tersebut bukan sahaja menampilkan rangkaian lagu popular yang pernah mencetus fenomena, malah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni kumpulan Elite.
Malam penuh nostalgia itu dimulakan dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu seperti “Ladiva”, “Merbahaya”, “Aku Siapa Kau Siapa”, “Mengerti” dan “Sesuatu Dalam Dirimu”, nyata mengubat kerinduan peminat untuk mendengar karya kegemaran mereka secara langsung.
Segmen kedua diteruskan dengan “Dua Hati” dan “Bila”, sebelum penonton dihadiahkan kejutan istimewa melalui duet “Di Pintu Syurga” bersama kumpulan ALPHA.
Turut memanaskan pentas, ALPHA membawakan lagu popular mereka “Monalisa” serta single terbaharu “P Ramlee & Saloma”.
Sorakan penonton semakin gamat ketika segmen medley dipersembahkan dengan pilihan lagu seperti “Catwalk”, “Dirinya Dirimu Diriku” dan “Susah Jadi Senang”.
Kemunculan kumpulan X-Factor turut menghangatkan suasana dengan duet lagu “Bertuah” sebelum mengimbau kenangan melalui hit popular mereka “7251364”.
Antara momen kemuncak malam itu termasuk alunan lagu “Alhamdulillah”, “Trauma” dan “Gig”.
Konsert penuh emosi dan tenaga itu akhirnya ditutup dengan persembahan ikonik Elite menerusi “Tamparan Wanita” dan “Manisnya Senyumanmu”, meninggalkan memori indah buat semua peminat yang hadir.