KUALA LUMPUR, 23 November – Penyanyi baharu, Dilaa Asri mempertaruhkan single terbaharu berjudul Sia-Sia sebagai langkah memperkukuhkan nama dalam industri muzik tanah air.
Dilaa, pelajar jurusan Pengurusan Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yakin karya sentuhan Ilham Baso dan Nina Rose itu mampu menyentuh hati pendengar melalui melodi dan lirik yang mendalam.
"Dilaa sangat berharap agar semua dapat menerima lagu Sia-Sia ini dan merasai apa yang Dilaa sampaikan. Kepada mereka yang pernah disia-siakan, Dilaa harap korang terus bangkit.
"Pada Dilaa, kita perlu jadi kuat dan pengalaman yang pernah Dilaa lalui itulah yang membentuk siapa Dilaa sekarang. Semoga semua dapat menerima lagu ini," katanya kepada pemberita.
Lagu Sia-Sia menggambarkan kisah tentang pengorbanan yang tidak dihargai dalam sebuah perhubungan, yang dekat dengan kehidupan ramai pendengar.
Single tersebut boleh didengar di semua pelantar muzik digital sejak 20 November lalu.