KUALA LUMPUR, 21 Jun - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka ruang di wismanya kepada anak seni dan bangsawan yang giat melakukan pementasan teater di ibu negara.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata sementara menunggu tempat khusus kegiatan seni di ibu kota, DBP membuka balai budaya, stor teater, dan auditorium untuk digunakan penggiat teater.
"Kita hendak menghidupkan aktiviti seni teater dan juga memastikan anak-anak teater yang selama ini menunggu untuk pementasan teater dapat dibantu dan digerakkan.
"Saya menawarkan ruang-ruang yang ada di dalam dewan ini untuk semua anak seni kita menjalankan kegiatan kesenian, terutamanya berkaitan dengan teater dan kebudayaan," katanya.
Ujar beliau, selain dari ruang yang disediakan, pihak DBP juga memberi khidmat kepakaran dari Persatuan Teater Malaysia untuk membantu pelajar dalam kegiatan seni teater.
"Kita memberi khidmat kepakaran, sebagai contoh khidmat kepakaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), (sekiranya) pelajar nak berteater kita ajak pakar-pakar dan kita taja pakar-pakar itu untuk membimbing mereka dengan kerjasama Persatuan Teater Malaysia," tambahnya.
Sementara itu, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-68, DBP dan Badan Budaya DBP akan mementaskan Teater Perdana bertajuk 'Haji Murat' karya Leo Tolstoy, arahan bersama A. Wahab Hamzah dan Aris Othman pada 26 hingga 29 Jun ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.