(Syazwan Shuhaimi ketika menyanyikan lagu 'Cinta Tak Mengerti')
KUALA LUMPUR, 4 September- Penyanyi Syazwan Shuhaimi kembali dengan sebuah lagu baharu berjudul 'Cinta Tak Mengerti'.
Lagu itu merupakan sentuhan komposer terkenal dari seberang iaitu Agie Prakasya.
Biarpun hampir setahun tidak merakamkan dengan lagu baharu, jejaka ini terus aktif melakukan persembahan dan memenuhi jemputan bagi program yang telah disusun oleh pihak pengurusan.
Menurut adik kepada pelakon popular, Eira Syazira genre yang ditampilkan dalam lagu itu sedikit berbeza dengan lagu sebelumnya kerana ingin tampilkan kelainan dan kemampuan yang boleh ditonjolkan selain bereksperimen dengan kemampuan vokalnya.
Bagi muzik video lagu itu, ia dihasilkan di ibu negara dan masa yang diambil adalah satu hari.
Penghasilannya juga adalah cetusan idea seperti drama korea.
(Syazwan Shuhaimi bersama Syafiqah Ishak (kiri) dan Ismail Adnan (kanan) dalam Selamat Pagi Malaysia)
Menjawab soalan berkenaan siapakah gandingan yang dirasakan sesuai untuk menyanyikan lagu bersama, beliau tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk digandingkan bersama Hael Hussaini atau Ernie Zakri.
Ketika ditanya dalam Selamat Pagi Malaysia, jejaka berusia 36 tahun itu tidak pernah merancang untuk bekerjasama dengan komposer dari Indonesia dan menyatakan, "ini merupakan satu peluang dan rezeki buat diri saya.
"Bagi saya ia merupakan satu kerjasama yang cukup baik antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia."
Beliau turut berharap agar pendengar boleh menerima buah tangan terbaharu itu dan terus menyokong karier nyanyiannya.