fb fb fb fb fb

'Biar', kolaborasi pertama Achey dan Tantari

Biar oleh Achey & Tantari trending di YouTube

KUALA LUMPUR, 2 September- Dua penyanyi tanah air, Achey dan Tantari bergabung buat kali pertama dalam lagu berjudul "Biar" yang dilancarkan pada Jumaat lepas.

"Biar" telahpun mendapat sambutan hebat dengan muzik videonya meraih lebih 60,000 tontonan dan tersenarai dalam 'Top 30 Trending' di YouTube dalam masa tiga hari.

Achey yang juga pelawak dan penulis lagu mencipta sendiri lagu tersebut manakala Tantari, penyanyi kanak-kanak popular turut teruja dengan kolaborasi tersebut.

"Tantari seronok dapat jemputan daripada abang Achey untuk menyanyi bersama dalam sebuah lagu. Ramai orang kenal abang Achey. Ramai juga kata abang Achey adalah Tantari bila dah besar nanti," ujar Tantari.

Lagu "Biar" mengisahkan tentang usaha mencapai kesempurnaan dalam hubungan namun menekankan bahawa kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan.

"Menerusi lagu ini saya dan Tantari cuba menyampaikan pesanan walaupun kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan, kita perlu menerima hakikat kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan kita.

"Melalui lirik-lirik yang mendalam lagu ini merangkumi aspek kehidupan yang kompleks yang mana kesempurnaan bukanlah matlamat yang realistik," ujar Achey

Ia merupakan lagu ketiga ciptaan Achey selepas "Sakit" dan "Yang Terindah".

Single "Biar" terbitan bersama Nova Music dan Seventeen Eleven Music boleh distrim disemua platform muzik dan muzik videonya boleh ditonton di YouTube menerusi pautan di bawah:

SITI AISHAH MD ISA