
LOS ANGELES, 18 Februari – Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dijadual memberi keterangan pada Rabu dalam perbicaraan bersejarah mengenai ketagihan media sosial.
- Zuckerberg dijangka memberi keterangan penting dalam perbicaraan isu ketagihan media sosial oleh rekaan platform.
- Perbicaraan menilai peranan reka bentuk aplikasi, algoritma dan personalisasi terhadap kesihatan mental remaja.
- Kes ini boleh menetapkan preseden undang-undang bagi ribuan tuntutan terhadap syarikat media sosial besar.
Perkara itu selepas dipanggil oleh peguam mewakili plaintif yang mendakwa Instagram dan platform lain direka untuk menjadikan pengguna muda ketagih terhadap media sosial berkenaan.
Zuckerberg, 41, yang menerajui Meta – syarikat pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp – merupakan saksi paling dinantikan dalam perbicaraan di California yang berpotensi menetapkan preseden undang-undang bagi ribuan tuntutan keluarga Amerika terhadap platform media sosial besar.
Perbicaraan itu merupakan kali pertama buat bilionair itu untuk memberi penjelasan secara langsung tentang keselamatan platform media sosial di hadapan juri.
Reputasi kontroversial Zuckerberg telah menghiasi prosiding sejak pemilihan juri, apabila peguam Meta berusaha mengecualikan penduduk California yang dianggap terlalu memusuhi pengasas Facebook itu.
Dua belas orang juri di Los Angeles akan mendengar keterangan sehingga Mac untuk menentukan sama ada YouTube milik Google dan Instagram Meta bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan mental yang dialami Kaley G.M., seorang penduduk California berusia 20 tahun yang merupakan pengguna media sosial tegar sejak kanak-kanak.
Kaley mula menggunakan YouTube pada umur 6 tahun, Instagram pada 11 tahun, diikuti TikTok dan Snapchat. Perbicaraan itu akan menilai sama ada Google dan Meta sengaja mereka platform berkenaan untuk mendorong penggunaan berulang dalam kalangan remaja sehingga menjejaskan kesihatan mental.
Kes itu, bersama dua perbicaraan lain yang dijadualkan di Los Angeles bertujuan menetapkan piawaian bagi menyelesaikan ribuan tuntutan yang menyalahkan media sosial kerana menyumbang kepada masalah kemurungan, kebimbangan, gangguan pemakanan dan kes bunuh diri dalam kalangan belia.
Prosiding memberi tumpuan kepada reka bentuk aplikasi, algoritma dan ciri personalisasi, kerana undang-undang AS memberi platform hampir imun sepenuhnya terhadap liabiliti kandungan yang dihasilkan pengguna. TikTok dan Snapchat, yang turut dinamakan dalam aduan, telah mencapai penyelesaian sulit sebelum perbicaraan bermula.
Ketua Instagram, Adam Mosseri, menjadi eksekutif Silicon Valley pertama memberi keterangan pada 11 Februari lalu, menolak konsep ketagihan media sosial dan lebih suka menggunakan istilah “penggunaan bermasalah”.
Dalam perbicaraan, peguam plaintif turut memanggil pakar psikiatri, Anna Lembke, untuk menerangkan bagaimana media sosial boleh memberi kesan kepada remaja sekali gus mengubah perkembangan otak mereka ke arah tingkah laku ketagihan.
Perbicaraan di Los Angeles berjalan seiring dengan kes serupa di peringkat kebangsaan di hadapan hakim persekutuan di Oakland, California, yang dijangka menghasilkan perbicaraan lain pada 2026.
Meta juga berdepan perbicaraan bulan ini di New Mexico atas dakwaan mengutamakan keuntungan berbanding melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.- AFP