Watak adiwira agih juadah berbuka puasa

Antara watak adiwira yang mengagihkan makanan kepada pengguna jalan raya. / REUTERS

BANDUNG, 10 Mac– Sekumpulan penghibur jalanan berpakaian watak adiwira mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di Bandung, Jawa Barat, Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dipimpin Kang Henda, penghibur badut menukar persembahan kepada kebajikan dengan mengagihkan ratusan pek takjil setiap Ramadan.
  • Watak adiwira seperti Spider-Man, Batman dan Captain America menghiburkan sambil menyerahkan juadah, menjadikan suasana lebih meriah terutama kanak-kanak.
  • Penduduk bangga melihat semangat berkongsi; aktiviti diharap memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.

Program tersebut diketuai penghibur badut, Hendayana Rusman, 46 tahun, yang dikenali sebagai Kang Henda.

Beliau bersama rakan komuniti setempat mengedarkan ratusan pek takjil, iaitu makanan ringan untuk berbuka puasa.

Rusman berkata, setiap Ramadan beliau menukar rutin persembahan kepada aktiviti kebajikan dengan membantu mengagihkan makanan kepada orang ramai.

Watak seperti Spider-Man, Batman dan Captain America turut menghiburkan pengguna jalan raya sambil menyerahkan makanan kepada pemandu dan penunggang motosikal.

Penduduk setempat, Iis Lydia berkata, program itu mencerminkan semangat berkongsi dalam kalangan masyarakat.

“Apabila melihat kegiatan seperti ini, kami berasa bangga kerana masih ada yang sanggup berkongsi rezeki dengan orang lain yang berpuasa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ronny Yanuar menyifatkan, kehadiran watak adiwira menjadikan program itu lebih menarik, terutama kepada kanak-kanak.

“Kanak-kanak sangat gembira kerana makanan diberikan oleh watak adiwira. Suasana jadi lebih meriah,” katanya.

Rusman berharap aktiviti tersebut dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk berkongsi rezeki sepanjang Ramadan. -REUTERS