
BEIRUT, 10 Februari – Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) merancang untuk menarik balik sebahagian besar tenteranya menjelang pertengahan 2027, selepas mandat pasukan pengaman itu tamat tahun ini.
- UNIFIL merancang mengurangkan dan menarik balik sebahagian besar tenteranya menjelang pertengahan 2027.
- Selepas operasi tamat 31 Disember, UNIFIL mula menghantar pulang anggota, peralatan dan menyerahkan posisi kepada Lubnan.
- Semasa pengunduran, pasukan hanya diberi kuasa terhad untuk melindungi anggota, pangkalan dan mengawasi pergerakan.
UNIFIL telah bertindak sebagai orang tengah antara Israel dengan Lubnan selama beberapa dekad dan telah membantu tentera Lubnan dalam membongkar infrastruktur kumpulan Hezbollah berhampiran sempadan Israel.
Di bawah tekanan Amerika Syarikat dan Israel, Majlis Keselamatan PBB mengundi tahun lalu untuk menamatkan mandat pasukan itu pada 31 Disember 2026, dengan pengurangan dan pengunduran yang teratur dan selamat dalam tempoh satu tahun.
Jurucakapnya Kandice Ardiel berkata, UNIFIL merancang untuk mengurangkan dan menarik balik semua, atau sebahagian besar, anggota beruniform itu menjelang pertengahan tahun 2027, dengan pengunduran lengkap diselesaikan menjelang akhir tahun sama.
Selepas operasi UNIFIL terhenti pada 31 Disember tahun ini, beliau berkata UNIFIL memulakan proses menghantar pulang anggota dan peralatannya serta menyerahkan posisi mereka kepada pihak berkuasa Lubnan.
Semasa pengunduran, pasukan itu hanya akan diberi kuasa untuk melaksanakan tugas terhad seperti melindungi anggota dan pangkalan PBB serta mengawasi pergerakan mereka dengan selamat.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada November 2024, Israel telah meneruskan serangan berkala ke atas Lubnan, kononnya menyasarkan Hezbollah.
Rejim Zionis turut mengekalkan tenteranya di lima kawasan sempadan.
Menurut Ardiel, UNIFIL telah mengurangkan hampir 2,000 anggota pasukan pengaman di selatan Lubnan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Beberapa ratus lagi dijadualkan beredar menjelang Mei.
Pasukan itu kini mempunyai kira-kira 7,500 anggota pengaman dari 48 negara di Lubnan. – AFP