
ABU DHABI, 5 Februari – Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat meneruskan rundingan bagi menamatkan pencerobohan Moscow yang memasuki hari kedua di Abu Dhabi.
Rundingan yang dianjurkan Amerika Syarikat itu merupakan episod terbaharu dalam usaha diplomatik yang setakat ini gagal menghentikan peperangan susulan serangan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine sejak Februari 2022.
Hari pertama rundingan tiga hala di ibu negara Emiriah Arab Bersatu pada Rabu itu berakhir dengan Kyiv menyifatkan perbincangan itu sebagai “substantif dan produktif”, walaupun tiada sebarang kejayaan besar dicapai.
Konflik berkenaan merupakan yang paling buruk berlaku di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, dengan ratusan ribu orang terkorban, berjuta-juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing serta sebahagian besar wilayah timur dan selatan Ukraine musnah teruk.
Menggambarkan kesan kemanusiaan yang serius, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata seramai 55,000 anggota tenteranya terkorban, satu penilaian yang jarang dilakukan oleh mana-mana pihak berhubung kerugian di medan perang.
Rusia juga dilaporkan meningkatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga Ukraine, menyebabkan ramai penduduk termasuk di ibu negara Kyiv terputus bekalan elektrik dan terpaksa berdepan suhu serendah -20 darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Langkah konkrit dan penyelesaian praktikal telah dibincangkan sepanjang hari pertama rundingan”, kata Ketua perunding Ukraine, Rustem Umerov selepas selesai rundingan hari pertama.
Bagaimanapun, Kremlin mengulangi pendirian kerasnya yang menurut jurucakapnya, Dmitry Peskov, pertempuran akan berterusan sehingga Kyiv membuat keputusan yang sewajarnya.
Isu utama yang menjadi kebuntuan dalam rundingan ialah nasib wilayah timur Ukraine dalam jangka panjang.
Moscow menuntut supaya Kyiv menarik keluar tenteranya dari wilayah Donbas sebagai prasyarat untuk menandatangani sebarang perjanjian.
Rusia turut mahukan pengiktirafan antarabangsa terhadap wilayah yang dirampas semasa pencerobohan itu sebagai miliknya.
Sementara itu, Kyiv menegaskan konflik berkenaan perlu segera ditamatkan dan menolak sebarang pengunduran anggota tenteranya.
Rundingan tiga hala yang pertama kali diadakan pada 23 dan 24 Januari lalu di Abu Dhabi dianggap sebagai satu kemajuan paling jelas setakat ini dalam usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menamatkan peperangan Rusia dan Ukraine.
Utusan khasnya, Steve Witkoff, bersama menantunya Jared Kushner, dihantar bagi mendesak semua pihak mencapai persetujuan.
Rusia kini menduduki kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine dan mendakwa wilayah Luhansk, Kherson serta Zaporizhzhia sebagai miliknya, selain menguasai beberapa kawasan di sekurang-kurangnya tiga wilayah lain di timur negara itu.
Kyiv pula masih mengawal kira-kira satu perlima wilayah Donetsk dan memberi amaran bahawa penyerahan wilayah hanya akan menggalakkan Moscow, selain menegaskan ia tidak akan menandatangani sebarang perjanjian yang gagal menghalang Rusia daripada melancarkan pencerobohan semula. -AFP