Ukraine dakwa Rusia bakal terima 30,000 lagi tentera Korea Utara

Foto REUTERS

KYIV, 26 Julai – Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa Rusia sedang berusaha mendapatkan tambahan 30,000 anggota tentera serta pelancar peluru berpandu dari Korea Utara bagi memperkukuh operasi ketenteraan terhadap Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan dijalankan di wilayah Voronezh untuk menerima anggota tentera tambahan dari Korea Utara.
  • Korea Utara bersiap menghantar pelancar bagi peluru berpandu balistik ke Rusia.
  • Rusia membantu Korea Utara mempelajari cara berperang dan meningkatkan keupayaan senjata melalui pengalaman tempur.
  • Sebagai balasan, Korea Utara menerima bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga.

Menerusi hantaran di media sosial, Zelensky berkata persiapan bagi menerima anggota tentera tambahan itu sedang dilakukan di wilayah Voronezh, Rusia, yang terletak berhampiran sempadan Ukraine.

Menurut beliau, Korea Utara juga sedang bersiap sedia menghantar pelancar tambahan bagi peluru berpandu balistik ke Rusia.

“Rusia mahu menerima 30,000 lagi anggota tentera dari Korea Utara. Sejak Jun, persiapan sedang dijalankan di wilayah Voronezh untuk menerima mereka,” katanya.

Beliau berkata penghantaran tambahan itu bukan sahaja mengancam Ukraine, malah turut menimbulkan risiko kepada negara-negara lain di Asia yang berada dalam lingkungan peluru berpandu Korea Utara.

“Rusia membantu Korea Utara mempelajari cara berperang, meningkatkan keupayaan senjatanya dan memperoleh pengalaman tempur sebenar dalam penggunaannya,” katanya.

Korea Utara sebelum ini menghantar ribuan anggota tenteranya untuk membantu Rusia menangkis serangan balas Ukraine di wilayah Kursk pada 2024.

Pyongyang juga membekalkan senjata kepada Moscow sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada 2022.

Menurut Korea Selatan, kira-kira 2,000 anggota tentera Korea Utara telah terbunuh dalam konflik itu.

Rusia dan Korea Utara menandatangani perjanjian bantuan ketenteraan pada 2024.

Minggu ini, Korea Utara sekali lagi menegaskan sokongannya terhadap perang Rusia di Ukraine semasa lawatan Menteri Luarnya, Choe Son Hui, ke Moscow.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Pyongyang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap dasar Rusia bagi menangani konflik Ukraine serta mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya.

Presiden Rusia Vladimir Putin turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan Korea Utara menerusi satu rakaman video yang dikeluarkan menjelang lawatan Choe.

Sebagai balasan kepada bantuan ketenteraan itu, Korea Utara dilaporkan menerima bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga bagi membantu negara itu mengatasi sekatan antarabangsa berhubung program nuklearnya. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.