Ukraine cipta sistem pertahanan udara kos rendah

Dron dan peluru berpandu Ukraine/ REUTERS

KIEV, 6 April Pengeluar peluru berpandu kruis Flamingo dari Ukraine, Syarikat Fire Point kini dalam rundingan dengan syarikat Eropah untuk membangunkan sistem pertahanan udara baharu menjelang 2027 sekali gus menawarkan alternatif kos rendah kepada sistem Patriot yang semakin sukar diperoleh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran mengurangkan kos memintas peluru berpandu balistik kepada kurang daripada AS$1 juta.
  • Menunggu kelulusan kerajaan untuk pelaburan konglomerat Asia Barat, penilaian syarikat sekitar AS$2.5 bilion, peluang termasuk pelancaran satelit orbit rendah.
  • Pengalaman pertempuran menentang Rusia memacu inovasi pertahanan kos rendah dan memeterai perjanjian keselamatan dengan beberapa kerajaan di Teluk.
  • Menghasilkan ratusan dron serangan harian sekitar 50,000 euro seunit dan tiga peluru Flamingo sekitar 600,000 euro; had pengeluaran termasuk masalah enjin.

Pengasas bersama dan ketua pereka Fire Point, Denys Shtilierman berkata, syarikat itu menyasarkan untuk mengurangkan kos memintas peluru berpandu balistik kepada kurang daripada AS$1 juta susulan kerajaan di seluruh dunia berusaha memperkukuh pertahanan udara akibat ketidakstabilan global.

Shtilierman turut memaklumkan bahawa Fire Point sedang menunggu kelulusan kerajaan bagi pelaburan daripada sebuah konglomerat Asia Barat yang menilai syarikat itu sekitar AS$2.5 bilion, sekali gus membuka peluang perniagaan baharu termasuk pelancaran satelit orbit rendah.

Pengalaman bertahun-tahun dalam medan peperangan menentang Rusia telah menjadikan Ukraine antara peneraju inovasi teknologi pertahanan kos rendah. Susulan tercetusnya konflik di rantau Teluk, Kiev memanfaatkan kepakaran itu untuk memeterai perjanjian keselamatan dengan beberapa kerajaan di rantau berkenaan.

Menurut beliau, bagi memintas peluru berpandu balistik, sistem Patriot — yang dihasilkan oleh Raytheon dan Lockheed Martin — lazimnya memerlukan dua hingga tiga peluru berpandu pertahanan udara, dengan setiap satu menelan kos jutaan dolar.

Fire Point turut merancang untuk melakukan pemintasan pertama peluru berpandu balistik menjelang penghujung 2027.

Shtilierman bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat Eropah yang terlibat dalam rundingan itu, namun berkata Fire Point berminat untuk bekerjasama dalam pembangunan radar, sistem pencarian sasaran peluru berpandu serta komunikasi — bidang yang masih kekurangan kepakaran dalam syarikat tersebut.

Walaupun sasaran 2027 itu disifatkan sebagai “impian besar” beliau yakin permintaan daripada kerajaan di seluruh dunia akan kekal tinggi, meskipun kadar keberkesanan sistem itu mungkin lebih rendah berbanding Patriot.

Fire Point turut memaklumkan ia kini menghasilkan ratusan dron serangan jarak jauh setiap hari dengan kos kira-kira 50,000 euro (AS$57,775) seunit, serta tiga peluru berpandu Flamingo pada kos sekitar 600,000 euro setiap satu. Namun, beliau mengakui terdapat beberapa kekangan dalam pengeluaran Flamingo, termasuk melibatkan enjin.- REUTERS